free counters

Sabtu, 23 April 2011

Sukun


Buah sukun atau nama saintifiknya  Artocarpus communis adalah dari genus Artocarpus dalam famili Moraccea. Dalam famili ini terdapat juga buah-buahan lain seperti nangka dan cempedak.
        
Pokok sukun yang dipercayai berasal dari Polynesia kini banyak terdapat di kawasan tropika lain seperti di Malaysia, Sri Lanka dan Kepulauan Pasifik yang lain.Di Malaysia buah sukun terdiri dari dua varieti iaitu berbiji dan tanpa berbiji.Varieti berbiji biasanya terdapat di kawasan hutan. Manakala varieti yang biasa dimakan ialah dari jenis tanpa biji.

Pokok sukun boleh mencapai ketinggian 20 meter. Buahnya berbentuk bulat atau sedikit bujur mempunyai ukuran garis pusat di antara 10 hingga 30 cm. Pada kebiasaanya berat buah ialah antara 1-3 kg. Buah sukun selalunya dipetik sebelum mencapai peringkat ranum atau masak. Buah sukun jika dipetik pada peringkat terlalu matang akan menjadi cepat lembut. Sebaliknya pula, jika buah dipetik pada peringkat terlalu muda, ia akan mengeluarkan getah yang berlebihan apabila kulitnya dikupas dan mempunyai rasa kelat yang tidak diingini.

Sukun merupakan sejenis buah yang tidak bermusim, namun ia mempunyai puncak pengeluarannya bunga dan buah utama sebanyak dua kali setahun. Musim bunganya ialah antara Februari hingga Mac dan antara Julai hingga Ogos. Manakala musim pemetikan buahnya di antara April hingga Jun dan di antara Oktober hingga November.

Buah sukun yang kaya dengan kandungan kanji boleh dijadikan bahan untuk menghasilkan pelbagai jenis hidangan. Antaranya ialah kepingan sukun goreng yang disalut dengan tepung, kerepek, bubur atau sukun rebus. Sukun juga boleh dijadikan hidangan  sayur. Kepingan sukun boleh direbus dan dimakan dengan sambal kacang bersama sayuran lain. Sukun juga boleh dimasak lemak. Disamping itu pelbagai jenis kuih muih dan puding boleh disediakan dari tepung atau kanji daripada sukun. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan